Pelancaran Portal MalaysiaBiz

11 Disember 2020 | Aktiviti Terkini

Sebuah portal telah dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia atau MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp sebagai satu inisiatif untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat iaitu Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat, atau lebih dikenali sebagai MalaysiaBiz. Portal ini berfungsi sebagai “one stop center” dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara cepat dan mudah. MalaysiaBiz dibangunkan dengan bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

Menerusi ucapan teks rasmi oleh Perdana Menteri iaitu YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin, yang telah menyempurnakan pelancaran portal ini mengatakan bahawa, kesemua usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melonjakkan PKS dan konsisten dengan kerangka inisiatif-inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini seperti Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Geran Prihatin Khas satu dan dua untuk meringankan beban para peniaga. Pelancaran Portal MalaysiaBiz adalah tanda aras baharu penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam ke arah Kerajaan Digital hasil kolaborasi pintar merentasi pelbagai agensi serta memudahkan urusan memulakan perniagaan dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga.

Selain itu, portal ini diintegrasikan dengan sistem dalam talian di 17 agensi bagi membolehkan peniaga mendapatkan perkhidmatan di satu gerbang sahaja. Hanya melalui lima langkah mudah, pengguna boleh melaksanakan urusan secara end-to-end bermula dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat bayaran. Para usahawan atau peniaga – peniaga kecil boleh mendaftar atau membuat pemohonan lesen perniagaan mereka dengan efisien di portal MalaysiaBiz iaitu https://malaysiabiz.gov.my.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali