Program Jaringan Prihatin

21 Mei 2021 | Aktiviti Terkini

Program ini telah diumumkan di dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5 bilion untuk membantu sekitar 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui penyediaan subsidi bagi langganan perkhidmatan telekomunikasi atau pembelian peranti mudah alih. Program bernilai RM3.5 bilion ini adalah pelengkap kepada inisiatif MyDigital yang diumumkan pada Februari 2021 dan bertujuan membina bakat dan kemahiran digital, seiring dengan usaha keterangkuman berpaksikan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Di bawah Jaringan Prihatin ini, penerima yang layak boleh memilih salah satu daripada dua manfaat, iaitu pakej peranti atau pelan data bulanan.

Program Jaringan Prihatin ini adalah sebahagian daripada lima fokus utama kerajaan untuk memulih dan melonjakkan ekonomi Malaysia pasca-COVID, iaitu memperkukuhkan daya saing negara melalui pengurangan jurang digital, iaitu mengawal penularan COVID-19 bagi membolehkan pembukaan ekonomi, memacu pemulihan ekonomi bagi terus memelihara kebajikan rakyat dan sektor terjejas, memperkukuh daya saing negara memastikan agenda keterangkuman, dan mentransformasikan ekonomi kepada aktiviti berasaskan pengetahuan dan berpaksikan inovasi.

Program inisiatif ini adalah kerjasama antara Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta dua belas (12) syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom, Digi, Maxis, Mcalls, redONE, speakOUT, Tune Talk, U Mobile, Unifi Mobile, XOX Mobile, YES dan Yoodo.

Pendaftaran bagi program ini dibuka mulai 5 Mei hingga 31 Julai 2021. Penerima yang layak boleh mendaftar dengan syarikat telekomunikasi pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini.

Kembali Ke Atas

kembali