Program Motivasi eKelas
11 Mei 2016 | Aktiviti TerkiniSeramai 17 orang pelajar Tingkatan 3 yang merupakan pelajar eKelas telah menghadiri program motivasi eKelas yang dianjurkan oleh Maxis. Program ini telah dijalankan pada 10 Mei 2016 (Selasa) bertempat di Pusat Internet 1 Malaysia Semenyih, Selangor. Program ini turut dihadiri oleh seorang penceramah dari Maxis (En Avi) dan juga seorang guru eKelas (Cik Nurul). Program bermula jam 4.00 petang hingga 6.00 petang.
Fokus program ini adalah untuk memberi motivasi kepada para pelajar Tingkatan 3 bagi persediaan menghadapi PT3. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program motivasi ini berlangsung. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah ice breaking, kenali masalah pembelajaran dan tips mencapai kejayaan.
Program dimulakan dengan aktiviti 'ice breaking'. Di dalam aktiviti ini para pelajar diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing dan mengenali antara satu sama lain. Tujuan ice breaking dijalankan adalah supaya para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri masing-masing kerana dengan mengenali orang sekeliling, para pelajar akan lebih selesa untuk bekerja dalam kumpulan.
Aktiviti seterusnya ialah kenali masalah pembelajaran. Dalam aktiviti ini, para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan di dalam kumpulan tersebut, para pelajar diminta untuk menyenaraikan masalah pembelajaran yang mereka hadapi selama ini. Dengan berbekalkan kertas mahjung dan markerpen mereka ternyata bersemangat untuk berkongsi masalah pembelajaran yang dihadapi.
Setelah itu, penceramah yang bertugas meneruskan program dengan perbincangan mengenai masalah yang disenaraikan oleh para pelajar sebentar tadi. Aktiviti ini adalah supaya mereka tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya mereka lebih fokus dalam pembelajaran. Penceramah juga berkongsi tips bagi mencapai kejayaan kepada para pelajar. Diharap para pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu yang telah diberikan.
Program ini ternyata memberi impak kepada masyarakat dan seterusnya menjadikan PI Semenyih dikenali sebagai salah satu Pusat Pembangunan Ilmiah dalam bidang ICT. Para pelajar Tingkatan 3 sangat seronok dengan motivasi yang diberikan dan berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: